Sunday, September 28, 2008

Rahim Jantan



Rahim Jantan merupakan salah seorang tokoh penyanyi dan pemuzik tradisional yang masih bergiat aktif dalam bidang lagu melayu asli. Beliau merupakan idola kepada penulis. Kerjaya seninya yang bertungkus-lumus untuk mempertabatkan lagu melayu asli sejak tahun 1956 memang tidak dapat dipertikaikan lagi.

Rahim Jantan atau Mohd Noh Jantan merupakan anak jati kelahiran negeri Melaka. Beliau telah dilahirkan pada 15 Disember 1947 di Batu Tiga,Kampung Balai Panjang, Melaka. Bakat beliau dalam seni muzik ini telah terbukti sejak beliau menuntut di Sekolah Umum Bachang, Melaka. “Setiap kali perhimpunan diadakan, saya akan ditugaskan oleh Cikgu Jaafar untuk mengetuai nyanyian lagu Negaraku” kata beliau.

Di sebabkan minat yang sangat mendalam dalam bidang seni ini, beliau telah membuat biolanya sendiri disamping bermain harmonika. Biola dari papan lapis dan dawai itu digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mempelajari selok belok melodi muzik berirama tradisional.

Atas kesungguhannya itu, beliau telah dihadiahkan dengan sebuah biola oleh ayahnya dan sebuah lagi dari seorang pemain biola terkenal di kampung halamannya iaitu Cik Kemat. Selain bermain biola, beliau juga mempunyai kepakaran dalam memainkan beberapa alatan muzik lain seperti akordian, gendang seperti rebana, piano dan beberapa lagi. Beliau juga berbakat dalam mencipta lagu. Antara lagu-lagu ciptaan beliau adalah Di Anjung Rindu,Wajah Mu Umpama Bulan, Kelapa Kembar, Ghazal Purnama nyanyian Noranizah Idris dan Joget Berhibur nyanyian Siti Nurhaliza.

Penyanyi dan pemuzik yang berusia 62 tahun ini pernah menjadi Johan Bintang Lagu Melayu Asli Kebangsaan kawasan selatan pada tahun 1969 dan Juara Kebangsaan Dendang Rakyat pada 1980. Beliau pernah bertugas dengan Jabatan Kebudayaan Negeri Melaka, Kompleks Budaya Negara, Jabatan Seni Persembahan (Tradisional) Petronas dan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan bertugas sebagai tenaga pengajar bagi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sejak tahun 1996 serta sebagai konsultan muzik tradisional. Sepanjang perkhidmatan tersebut, beliau telah banyak melakukan pemuliharaan terhadap irama lagu Melayu Asli.

Album pertama beliau adalah hasil paduan suara bersama S.Roha dan telah diterbitkan pada tahun 1969. Antara lagu popular dari album tersebut adalah Kasih Berpadu dan Jangan Lupakan Daku. Rahim Jantan juga pernah berduet dengan Allahyarham Rosiah Chik, Allahyarham Datin Rafeah Buang, Allahyarham Kamariah Noor dan juga Datuk Yusni Hamid.

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang ini, beliau telah berjaya membawa irama lagu asli ini hingga ke peringkat antarabangsa. Beliau telah membuat persembahan di beberapa negara Eropah, Australia, Fiji dan Jepun sekitar tahun 1990. Tekatnya untuk memperjuangkan seni budaya ini membolehkan beliau menerima beberapa penghargaan seperti Anugerah Seni Negara (Pemuzik) 2006, Anugerah Penggerak Budaya Melaka, Anugerah Penggiat Seni Negeri Melaka, Pingat Bakti Masyarakat (PBM), Anugerah Bintang Kehormat Terpuji (BKT), Bintang Cemerlang Melaka (BCM) dan Bintang Kebesaran Negeri Melaka yang dianugerahkan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Melaka.

Selain sibuk sebagai tenaga pengajar di ASWARA, Rahim Jantan juga terlibat dengan beberapa bengkel yang berkaitan dengan seni lagu Melayu yang diadakan di seluruh negara selain dilantik menjadi juri bagi Pertandingan Lagu Melayu Asli di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Pada awal penglibatan Rahim dalam bidang ini, beliau telah menubuhkan beberapa kumpulan muzik Melayu Asli. Antara kumpulan tersebut adalah Kumpulan Rahim Jantan dan Rakan-rakan dan Kumpulan Senandung Melayu.
Rahim juga telah menubuhkan kumpulan Rahim dan Anak-anak yang turut dianggotai oleh beberapa orang rakan seperjuangan. Kumpulan ini telah diundang untuk mengadakan persembahan di beberapa rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Rangkaian Media Prima(TV3 & TV9) dan Television of Corporation Singapore (TCS). Diwaktu terluang juga kumpulan ini akan memenuhi permintaan untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan, jamuan makan malam, majlis berbuka puasa dan majlis sambutan hari raya.

Kini Rahim Jantan sedang sibuk mempromosikan album terbaru beliau, Rahim Jantan Vol 1-4 yang memuatkan lebih 40 lagu-lagu melayu asli. Album yang diterbitkan ini sesuai sebagai salah satu bahan rujukan kepada mereka yang mahu mempelajari cara untuk menyanyikan ataupun memainkan lagu-lagu melayu asli.



Rahim Jantan bersama anak-anak dan rakan ketika membuat persembahan di karnival Sua Rasa TV9 di Dataran Ayer Keroh, Melaka. (yang paling kanan sekali tu siapa ya?hehehe...)


Ketika menerima Anugerah Seni Negara (Pemuzik) pada tahun 2006 di Kuala Lumpur Convention Centre. (sebelah kiri tu siapa ya?hehehe...)