Sunday, September 28, 2008

Rahim Jantan



Rahim Jantan merupakan salah seorang tokoh penyanyi dan pemuzik tradisional yang masih bergiat aktif dalam bidang lagu melayu asli. Beliau merupakan idola kepada penulis. Kerjaya seninya yang bertungkus-lumus untuk mempertabatkan lagu melayu asli sejak tahun 1956 memang tidak dapat dipertikaikan lagi.

Rahim Jantan atau Mohd Noh Jantan merupakan anak jati kelahiran negeri Melaka. Beliau telah dilahirkan pada 15 Disember 1947 di Batu Tiga,Kampung Balai Panjang, Melaka. Bakat beliau dalam seni muzik ini telah terbukti sejak beliau menuntut di Sekolah Umum Bachang, Melaka. “Setiap kali perhimpunan diadakan, saya akan ditugaskan oleh Cikgu Jaafar untuk mengetuai nyanyian lagu Negaraku” kata beliau.

Di sebabkan minat yang sangat mendalam dalam bidang seni ini, beliau telah membuat biolanya sendiri disamping bermain harmonika. Biola dari papan lapis dan dawai itu digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mempelajari selok belok melodi muzik berirama tradisional.

Atas kesungguhannya itu, beliau telah dihadiahkan dengan sebuah biola oleh ayahnya dan sebuah lagi dari seorang pemain biola terkenal di kampung halamannya iaitu Cik Kemat. Selain bermain biola, beliau juga mempunyai kepakaran dalam memainkan beberapa alatan muzik lain seperti akordian, gendang seperti rebana, piano dan beberapa lagi. Beliau juga berbakat dalam mencipta lagu. Antara lagu-lagu ciptaan beliau adalah Di Anjung Rindu,Wajah Mu Umpama Bulan, Kelapa Kembar, Ghazal Purnama nyanyian Noranizah Idris dan Joget Berhibur nyanyian Siti Nurhaliza.

Penyanyi dan pemuzik yang berusia 62 tahun ini pernah menjadi Johan Bintang Lagu Melayu Asli Kebangsaan kawasan selatan pada tahun 1969 dan Juara Kebangsaan Dendang Rakyat pada 1980. Beliau pernah bertugas dengan Jabatan Kebudayaan Negeri Melaka, Kompleks Budaya Negara, Jabatan Seni Persembahan (Tradisional) Petronas dan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan bertugas sebagai tenaga pengajar bagi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sejak tahun 1996 serta sebagai konsultan muzik tradisional. Sepanjang perkhidmatan tersebut, beliau telah banyak melakukan pemuliharaan terhadap irama lagu Melayu Asli.

Album pertama beliau adalah hasil paduan suara bersama S.Roha dan telah diterbitkan pada tahun 1969. Antara lagu popular dari album tersebut adalah Kasih Berpadu dan Jangan Lupakan Daku. Rahim Jantan juga pernah berduet dengan Allahyarham Rosiah Chik, Allahyarham Datin Rafeah Buang, Allahyarham Kamariah Noor dan juga Datuk Yusni Hamid.

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang ini, beliau telah berjaya membawa irama lagu asli ini hingga ke peringkat antarabangsa. Beliau telah membuat persembahan di beberapa negara Eropah, Australia, Fiji dan Jepun sekitar tahun 1990. Tekatnya untuk memperjuangkan seni budaya ini membolehkan beliau menerima beberapa penghargaan seperti Anugerah Seni Negara (Pemuzik) 2006, Anugerah Penggerak Budaya Melaka, Anugerah Penggiat Seni Negeri Melaka, Pingat Bakti Masyarakat (PBM), Anugerah Bintang Kehormat Terpuji (BKT), Bintang Cemerlang Melaka (BCM) dan Bintang Kebesaran Negeri Melaka yang dianugerahkan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Melaka.

Selain sibuk sebagai tenaga pengajar di ASWARA, Rahim Jantan juga terlibat dengan beberapa bengkel yang berkaitan dengan seni lagu Melayu yang diadakan di seluruh negara selain dilantik menjadi juri bagi Pertandingan Lagu Melayu Asli di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Pada awal penglibatan Rahim dalam bidang ini, beliau telah menubuhkan beberapa kumpulan muzik Melayu Asli. Antara kumpulan tersebut adalah Kumpulan Rahim Jantan dan Rakan-rakan dan Kumpulan Senandung Melayu.
Rahim juga telah menubuhkan kumpulan Rahim dan Anak-anak yang turut dianggotai oleh beberapa orang rakan seperjuangan. Kumpulan ini telah diundang untuk mengadakan persembahan di beberapa rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Rangkaian Media Prima(TV3 & TV9) dan Television of Corporation Singapore (TCS). Diwaktu terluang juga kumpulan ini akan memenuhi permintaan untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan, jamuan makan malam, majlis berbuka puasa dan majlis sambutan hari raya.

Kini Rahim Jantan sedang sibuk mempromosikan album terbaru beliau, Rahim Jantan Vol 1-4 yang memuatkan lebih 40 lagu-lagu melayu asli. Album yang diterbitkan ini sesuai sebagai salah satu bahan rujukan kepada mereka yang mahu mempelajari cara untuk menyanyikan ataupun memainkan lagu-lagu melayu asli.



Rahim Jantan bersama anak-anak dan rakan ketika membuat persembahan di karnival Sua Rasa TV9 di Dataran Ayer Keroh, Melaka. (yang paling kanan sekali tu siapa ya?hehehe...)


Ketika menerima Anugerah Seni Negara (Pemuzik) pada tahun 2006 di Kuala Lumpur Convention Centre. (sebelah kiri tu siapa ya?hehehe...)

Saturday, September 27, 2008

Selamat Hari Raya

Sempena kedatangan bulan Syawal ini. Penulis dan isteri ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin. Ucapan ini ditujukan khas kepada kedua ibu bapa kami Ayahanda Rahim Jantan dan Hj Hassan Hj Mohamed, Bonda Norhayati Hj Noordin dan Hjh Siti Rohani Hj Mapis, semua sanak saudara, rakan-rakan dan tidak lupa pengunjung WarisKlasik...


Berlalu pergi bulan Ramadhan
Kini menjelang Syawal mulia,
Di pagi lebaran bersalam-salaman
Maaf di pohon ampun di pinta

Daun nyiur dibuat ketupat
Untuk hidangan di pagi Syawal,
Mari saudara mari sahabat
Erat hubungan tambahkan amal

Pelita di pasang menghias laman
Lemang di bakar di bawah sena
Salam diutus jalinkan ikatan
Agar lebaran lebih bermakna

Semoga di lebaran yang bakal tiba ini nanti, kita beroleh lebih lagi rezeki dan sentiasa di dalam keberkatan-Nya.

Thursday, September 25, 2008

Pulau Pisang

Pulaulah Pisang...
Pulau pisang rumahlah api sayang
Pedoman kapal belayar malam

Sebelum ajal berpantang mati
Walau tercampak dalam lautan dalam

Pedomanlah kapal
Pedomanlah kapal belayar malam sayang
Sarat bermuat buah keranji

Walau tercampak lautan yang dalam
Tidakku lupa segala janji

Tuesday, September 23, 2008

Dondang Sayang

Bahagian 1
Dondang sayang merupakan salah satu genre muzik asli yang telah lama wujud di Malaysia. Irama ini lebih sinonim di negeri Melaka. Mengikut beberapa fakta, Dondang Sayang telah mula ada di bumi Melaka sejak zaman kesultanan Melayu lama di Melaka. Lirik yang digunakan dalam irama Dondang Sayang ini biasanya merupakan rangkap-rangkap pantun. Mengikut normanya, pantun empat kerat merupakan pantun yang sinonim dengan Dondang Sayang.

Contoh pantun Dondang Sayang:-

Putik pauh di bawa belayar
 Anak sembilang berenang di kali
Hamba budak baru belajar
 Mengenal ilmu warisan tradisi

Dondang bermaksud dendang, mengalunkan suara atau menyanyi. Sayang pula bermaksud kasih atau kecintaan. Jadi dengan maksud lainnya Nyanyian Kasih. Pemuzik Dondang Sayang biasanya terdiri dari seorang pemain biola, dua orang pemain rebana, dan seorang pemain gong (pemuzik utama). Kini kumpulan dondang sayang ini juga akan dianggotai oleh pemuzik yang memainkan akordian, seruling, gitar dan juga gitar bass. Pemuzik ini akan memainkan alunan irama dondang sayang yang biasanya dinyanyikan oleh seorang penyanyi lelaki dan seorang penyanyi perempuan. Ada kalanya juga terdapat dua pasang penyanyi dalam satu-satu persembahan dondang sayang.

Makan Sireh

MAKANLAH SIREH BERPINANGLAH TIDAK
PENDENGAR BUDIMAN
PINANGLAH ADA DI BUKIT PIATU

MAKANLAH SIREH BERPINANGLAH TIDAK
ADUHAILAH SAYANG
PINANGLAH ADA DI BUKIT PIATU

TOLEH KE KIRI KE KANANLAH TIDAK
PENDENGAR BUDIMAN
BARULAH KU TAHU UNTUNG NASIB KU

TOLEH KE KIRI KE KANANLAH TIDAK
MAKANLAH SIREH
BARULAH KU TAHU UNTUNG NASIB KU

#
MAKANLAH SIREH DITARUKLAH PINANG
PENDENGAR BUDIMAN
SIREH DI KAPUR ANAK SARAWAK
Ulang #

*
DALAM BERKASIH FITNAH MENDATANG
MAKANLAH SIREH
KE MANALAH BADAN HENDAK DI BAWA
Ulang *

Friday, September 19, 2008

Hati ke hati

TINGGILAH TINGGI 2x
BURUNG DI AWAN
AKHIRNYA ENGKAU TURUN 2x
MENCARI KAWAN

TERBANG DI AWAN
TURUN MARI KE DALAM TAMAN
KALAU MENCARI KAWAN 2x
BIARLAH PADAN

BUKAN SAHAJA 2x
KITA KEMARI

KITA BERCINTA
CURAHKAN RAHSIA
HATI KE HATI

BURUNG TEMPUA
SANA SINI MENCARI SARANG
KALAU HATI DAH SUKA
SAMALAH KITA TERBANG PULANG

Thursday, September 18, 2008

Selasih Ku Sayang

Ku tanam selasih
Ku tanamkan
Di hujung halaman
Mengenangkan kasih, aduh sayang
Yang aku tinggalkan

Ku siram selasih
Ku siramkan di hujung halaman
Mengenangkan kasih, aduh sayang
Lambang percintaan

#
Hai cendana dewi
Kasih yang kurindu
Ku kenang selalu

Sayang
Moga takkan layu
Cinta yang sejati kekal nan abadi

Hai cendana dewi
Kau tetap ku kenang
Janganlah kau bimbang

Sayang
Kau tetapkan pulang
Di sisi ku sayang
Membawa harapan

Ku siram selasih
Ku siramkan di hujung halaman
Mengenangkan kasih
Aduh sayang
Lambang percintaan

//Ulang dari #

Tuesday, September 16, 2008

Mulanya sebuah kisah

Assalamualaikum,
Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang melayari blog ini. WarisKlasik merupakan sebuah blog yang dibina khas bagi mengumpul serta memberi maklumat yang berkaitan dengan dunia muzik tradisional di Malaysia. InsyaAllah, walau tidak semua tapi tetap ada.sekian

Tuesday, September 2, 2008

testing

testing